FBMK UPM anjur Hunting with e-language 2019 bersama Murid SK Sultan Abdul Aziz, Teluk Intan
Oleh: Dr Ilyana Jalaluddin
Foto: Dr. Ilyana Jalaluddin
Teluk Intan (17 Julai 2019) - Berkongsi kemahiran untuk menguasai teknologi dalam usaha membimbing pelajar berjaya dalam pembelajaran bahasa Inggeris menjadi tujuan utama sekumpulan pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menjayakan Program Hunting With E-Language di Sekolah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz, baru-baru ini.
Antara aktiviti yang menarik dan mendapat respons dari pari para pelajar
Pengarah Program, Dr Ilyana Jalaludin berkata, program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pelajar sekolah rendah mempelajari bahasa Inggeris dengan cara didik hibur dan menggunakan teknologi Augmented Reality (AR) sebagai sebahagian daripada kaedah pembelajaran.
Aktiviti membaca berita bersama murid
“Teknologi Augmented Reality (AR) dicipta dan digunakan untuk menggalakkan pemikiran kritis dan pemahaman murid. Bagi mengaktifkan bahan yang disediakan, aplikasi AR melalui telefon bimbit telah digunakan untuk membantu penggunaan AR dalam penjelajahan bahasa. Ia adalah pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan untuk guru dan pelajar kerana pertama kali dilaksanakan dalam pembelajaran”, katanya lagi.
Pensyarah FBMK yang terlibat dengan guru SK SAA, Teluk Intan
Program yang berbentuk penjelajahan bahasa ini melibatkan seramai tujuh orang pensyarah dari Jabatan Bahasa Inggeris, Jabatan Bahasa Melayu, Jabatan Bahasa Asing dan Jabatan Komunikasi. Selain itu, seramai 17 orang pelajar siswazah dan pra-siswazah FBMK dan seorang jurukamera turut terlibat dalam menjayakan program ini.
Murid Tahun 6 SK Sultan Abdul Aziz yang menjadi peserta
Murid-murid yang terlibat terdiri daripada murid tahun 6, iaitu seramai 80 orang yang dibahagikan kepada sepuluh kumpulan. Program ini juga telah dihadiri pihak pentadbir dan guru-guru SK Sultan Abdul Aziz, Teluk Intan Perak. Majlis telah dimulakan dengan perasmian oleh Penolong Kanan SK Sultan Abdul Aziz, Perak, Puan Fatizah Shafie dan diikuti persembahan oleh pelajar sekolah.
Detik penyerahan memorandum persefahaman
Secara keseluruhannya, program ini melibatkan lima modul, iaitu Scrambled Word Game, Vocabulary game, Guess where Am I?: Solving Riddle, Young Journalist, dan Newscaster.Dengan berakhirnya aktiviti pada modul kelima Newscaster, aktiviti Hunting With E-Language ini juga ditamatkan pada pukul 4.30 petang dengan penuh keceriaan melalui pemberian hadiah kepada para pemenang dan sijil kepada semua yang terlibat. Detik manis diabadikan oleh pihak sekolah melalui acara menandatangani memorandum persefahaman antara Sekolah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz dengan Universiti Putra Malaysia sebagai tanda terjalinnya hubungan kerjasama.
Tarikh Input: 14/08/2019 | Kemaskini: 14/08/2019 | ewan
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia