|
Asas pembentukan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi dapat ditelusuri sejak wujudnya Bahagian Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris di Kolej Pertanian Malaya berikutan penguatkuasaan Akta Bahasa 1967. Pada tahun 1971, kedua-dua bahagian ini dicantumkan dan dinamakan Bahagian Bahasa yang mengandungi Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris. Bahagian ini telah dinaikkan tarafnya sebagai Jabatan Bahasa pada tahun 1972, dan diletakkan di bawah Fakulti Pertanian.
Pada 15 Januari 1975, Jabatan Bahasa diletakkan di bawah Fakulti Perkhidmatan Pendidikan yang sekarang ini dikenali sebagai Fakulti Pengajian Pendidikan. Pada 4 Januari 1995, Jabatan Bahasa telah dinaikkan tarafnya menjadi Fakulti Pengajian Bahasa Moden. Pada 1 Januari 1999, Jabatan Komunikasi Pembangunan yang dahulunya terletak di bawah Fakulti Ekologi Manusia dipindahkan ke Fakulti Pengajian Bahasa Moden dengan nama baharunya Jabatan Komunikasi, dan Fakulti Pengajian Bahasa Moden diberi nama baharu sebagai Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK). Kini, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi mengandungi empat jabatan, iaitu Jabatan Bahasa Melayu, Jabatan Bahasa Inggeris, Jabatan Bahasa Asing, dan Jabatan Komunikasi. Jabatan Bahasa Melayu mengendalikan kursus bahasa dan linguistik Melayu, kesusasteraan Melayu, penulisan, dan kursus kemahiran bahasa Melayu. Jabatan Bahasa Inggeris pula mengendalikan kursus bahasa Inggeris, kesusasteraan Inggeris, dan kursus kemahiran bahasa Inggeris, manakala Jabatan Bahasa Asing mengendalikan kursus bahasa asing seperti bahasa Arab, bahasa Jepun, bahasa Cina, bahasa Korea, bahasa Thai, bahasa Bangla, bahasa Perancis, bahasa Sepanyol, bahasa Jerman, bahasa Tamil, bahasa Myanmar, bahasa Vietnam, bahasa Parsi, dan bahasa Rusia. Jabatan Komunikasi mengendalikan kursus komunikasi kemanusiaan, komunikasi korporat, kewartawanan, penyiaran, teknologi komunikasi, komunikasi massa, dan komunikasi pembangunan. Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi mengendalikan program Bacelor Sastera (B.A.) dan Bacelor Komunikasi (B. Comm.). Bacelor Sastera yang ditawarkan adalah dalam bidang pengkhususan Bahasa dan Linguistik Melayu, Bahasa Inggeris, Kesusasteraan Melayu, Kesusasteraan Inggeris dan Bahasa Asing (Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Perancis dan Bahasa Jerman). Program Bacelor Sastera telah mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam pada 1 Ogos 1997 setaraf dengan ijazah sarjana muda peringkat Kepujian (Bacelor Sastera bertaraf kepujian). Program Bacelor Komunikasi mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam pada 15 April 1999 setaraf Ijazah Sarjana Muda Peringkat Kepujian (Bacelor Komunikasi bertaraf Kepujian). Selain itu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi juga membantu Sekolah Pengajian Siswazah mengendalikan program ijazah lanjutan (Master dan Ph.D) dalam bidang Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Kesusasteraan Melayu, Kesusasteraan Inggeris, Kesusasteraan Cina, Komunikasi Organisasi, Komunikasi Kemanusiaan, Komunikasi Pembangunan, Teknologi Komunikasi, Komunikasi Korporat, dan Kewartawanan; menjalankan penyelidikan tentang pelbagai bidang bahasa, kesusasteraan, dan komunikasi; menjalankan aktiviti perundingan dan pengembangan di dalam dan di luar kampus; membantu Fakulti Pengajian Pendidikan mengendalikan kursus-kursus Bacelor Pendidikan; mengendalikan program B.A. untuk Eksekutif, dan bekerjasama dengan PPL mengendalikan program pengajian secara PJJ dan program kerjasama.
|