Lawatan dan perasmian Makmal Bahasa Wisata Minda oleh Naib Canselor UPM dengan diiringi oleh Dekan FBMK, Prof. Madya Dr. Haji Che Ibrahim Haji Salleh SERDANG, 11 April – Makmal Bahasa Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) melangkah maju setapak ke hadapan apabila menggunakan peralatan SANAKO Lab 300 yang menyediakan pelbagai perkakasan latih tubi dan pembelajaran bahasa. Dekan fakulti, Prof. Madya Dr Che Ibrahim Salleh berkata makmal itu membolehkan pelajar memperolehi peluang secukupnya meningkatkan kemahiran mendengar, bertutur dan berinteraksi di dalam makmal.
“Pengguna makmal dapat mengintegrasikan pelbagai sumber bahan pengajaran dan pembelajaran sama ada CD, DVD, VCR, kaset rakaman, satelit, video dan internet.
“Tenaga pengajar dan pelajar akan saling berhubung secara individu dan berkumpulan dalam pembelajaran serentak,” katanya dalam majlis perasmian Makmal Bahasa & Wisata Minda serta penyerahan sumbangan staf fakulti untuk pembinaan Menara Jam Warisan Budi Putra.
Beliau berkata sistem makmal itu berorientasikan pelajar kerana mereka bebas belajar mengikut keperluan dan keupayaan masing-masing di samping mengulang bahan pembelajaran, merakamkan latihan serta menyediakan sari kata untuk video dan audio. Sementara itu Wisata Minda katanya merupakan pusat sumber yang berfungsi untuk memperolehi, menyimpan dan mengedar maklumat dalam bentuk bercetak dan pengkalan data dalam talian atau CD-ROM.
Che Ibrahim berkata maklumat bahan ilmiah itu ialah seperti buku, jurnal, kamus, ensiklopedia, tesis, kertas penyelidikan dan koleksi khas yang diterbitkan oleh badan di dalam dan luar negara.
“Wisata Minda menyokong aktiviti penyelidikan di fakulti dengan berfungsi sebagai pusat sumber yang khusus, kondusif dan mesra pengguna,” katanya.
Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah ketika merasmikan majlis itu berharap kelab Bahasa Inggeris yang ditubuhkan di setiap kolej mengambil peluang kemudahan makmal bahasa tersebut untuk merencanakan aktiviti kokurikulum mereka bagi melahirkan pelajar yang berkemahiran insaniah yang tinggi.
“Wisata Minda pula membantu pelajar bukan sepenuh masa pasca siswazah yang memerlukan bilik selesa untuk membuat tugasan dan rujukan penyelidikan mereka,” katanya.
Beliau berharap pihak fakulti berusaha menjanakan koleksi sendiri dengan meminta bantuan kedutaan asing agar koleksi bacaannya lebih berimpak tinggi.
Nik Mustapha berkata sumbangan warga fakulti itu untuk pembinaan menara jam Warisan Budi adalah signifikan jasa mereka untuk pembangunan universiti, prihatin dengan ketepatan masa serta untuk generasi sekarang dan akan datang.
Upacara Perasmian Makmal Bahasa & Wisata Minda
Oleh Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat
|