| FAKULTI BAHASA MODEN DAN KOMUNIKASI

"Hidupkan Kembali Kongres Budaya" - Tan Sri Dr. Rais Yatim

Tan Sri Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim dan YBhg. Prof. Datin Paduka Aini Ideris, Naib Canselor UPM.


"Hidupkan Kembali Kongres Budaya" - Tan Sri Dr. Rais Yatim

SERDANG, 1 Okt (Bernama) -- Kongres Budaya perlu dihidupkan bagi memberi nafas baharu kepada nilai kemelayuan yang semakin pupus dalam kalangan masyarakat, kata Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata kongres yang kali terakhir diadakan pada 1971 itu amat penting memandangkan masyarakat Melayu ketika ini kurang peduli tentang kebudayaan, bahasa dan seninya sendiri.

"Kita sudah terlalu lama dibungkus oleh cara kehidupan moden sehingga kita lupa siapa kita, jadi saya menggesa orang Melayu untuk memerhatikan perkara 160 Perlembagaan Malaysia mengenai adat dan budaya Melayu.

"Jika budaya mati, orang Melayu akan hilang identiti di negara sendiri," katanya kepada pemberita pada Temasya Keris dan Budaya Warisan Melayu di Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini Sabtu.

Beliau berkata pihaknya akan mendapatkan kerjasama Jabatan Perdana Menteri, universiti tempatan dan jabatan kerajaan berkaitan untuk mengadakan Kongres Budaya itu yang dijangka diadakan tahun hadapan.

Rais juga meminta kerajaan mempertimbangkan peruntukan tambahan untuk Jabatan Warisan Negara dalam Bajet 2017 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 21 Okt ini.

Katanya ia bagi memberi dorongan kepada jabatan itu untuk menggandakan usaha pemuliharaan dan mempromosi warisan negara seperti yang termaktud dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Mengenai Temasya Keris dan Budaya Warisan Melayu tersebut, Rais berkata ia adalah usaha yang baik dalam memberi pendedahan kepada generasi muda tentang sejarah, budaya dan seni Melayu yang patut diikuti oleh semua universiti awam di negara ini.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang tiga hari temasya itu yang bermula dari 30 September sehingga 2 Oktober 2016, antaranya demonstrasi pembuatan keris, pertandingan keris, seni bela diri, demonstrasi seniman tua Melayu, sukan rakyat serta pameran dan jualan barangan kraf.


Image and video hosting by TinyPic
Demonstrasi seni bela diri

Turut diadakan, Pameran Jejak Langkasuka yang membawakan koleksi hasil seni ukiran Adiguru Seni Ukiran Kayu Kebangsaan, Norhaiza Noordin, Allahyarham Nik Rashiddin Nik Hussein dan hasil seni 'etching' (punaran) oleh pelukis terkemuka Ilse Noor.

Sumber: Bernama
Kredit Foto: Muzium Warisan Melayu UPM

SXDcWAw~