Jabatan Bahasa Asing

Pengenalan

Jabatan Bahasa Asing memberikan tumpuan kepada pembangunan bahasa moden selain bahasa Melayu dan  bahasa Inggeris. Penekanan diberikan kepada aspek bahasa, linguistik, penterjemahan dan kesusasteraan Arab dan Cina.     Kurikulum program Bacelor Sastera (Bahasa Asing) dengan Major bahasa Arab, Major bahasa Cina, Major bahasa Perancis dan Major bahasa Jerman telah digubal berdasarkan konsep asas yang menyeluruh untuk menghasilkan individu yang  seimbang, dan mempunyai keterampilan dalam pelbagai bahasa dan berkemahiran dalam pelbagai disiplin ilmu. Selain itu, Jabatan Bahasa Asing juga diperkuatkan dengan 12 kursus kemahiran bahasa asing yang terbuka     kepada semua pelajar UPM.  Kursus kemahiran bahasa asing mempunyai 3 tahap dan pelajar yang lulus cemerlang   dalam kursus kemahiran bahasa asing tahap tiga dengan gred sekurang-kurangnya B, akan dikurniakan sijil yang boleh dijadikan sebagai nilai tambah dalam pasaran kerja.

Objektif

Jabatan Bahasa Asing ditubuhkan untuk:

i. Melestarikan budaya ilmu dalam usaha mendepani alaf baharu berasaskan bahasa, kesusasteraan, komunikasi dan teknologi asing;

ii. Memenuhi keperluan sumber tenaga yang memahami budaya ilmu dan memupuk integrasi pada peringkat global;

iii. Menjana individu yang dinamik dengan keterampilan berbahasa dan komunikasi yang diperlukan untuk pasaran kerja global; dan

iv. Melahirkan generasi yang mampu memperoleh, menguasai dan mengaplikasikan ilmu dalam bidang bahasa, linguistik, kesusasteraan dan budaya asing. 

Dalam dunia yang bergerak pantas dengan kemudahan komunikasi yang serba canggih, maka kemahiran bertutur, menulis dan membaca dalam bahasa-bahasa asing dapat memberikan nilai yang tinggi. Graduan dalam pengkhususan  bahasa Arab, bahasa Cina, bahasa Perancis dan bahasa Jerman boleh merebut peluang pekerjaan di negara-negara  Arab, China, Hong Kong, Taiwan dan negara-negara Eropah.  Pelajar UPM juga boleh mempelajari dan berkomunikasi dalam bahasa-bahasa asing secara percuma melalui kursus kemahiran bahasa-bahasa asing yang ditawarkan Jabatan. Prospek pekerjaan bagi graduan pula meliputi kerjaya dalam bidang pendidikan, penerbitan, penyiaran dan kewartawanan, pelancongan, perbankan dan perhubungan awam.


Program Yang Ditawarkan

  • Bacelor Sastera Bahasa Arab
  • Bacelor Sastera (Bahasa Asing)  Major Bahasa Cina
  • Bacelor Sastera Pengajian Bahasa Perancis
  • Bacelor Sastera Pengajian Bahasa Jerman
  • Master Sastera (Bahasa Arab)
  • Master Sastera (Kesusasteraan Cina)
  • Doktor Falsafah (Bahasa Arab)
  • Doktor Falsafah (Kesusasteraan Cina)